Monday, Jul. 07, 2003 @ 1:00 p.m.
Kempen Membaca

Bulan Julai Bulan Membaca

Tahun ini, sambutan bulan membaca tidaklah sehebat tahun lepas yang melibatkan artis-artis mendaftar jadi ahli Perpustakaan Negara. Aku tak tahulah sama ada mereka yang mendaftar pada tahun lepas terus menjadi ahli yang aktif atau sebaliknya. Di sana-sini, asyik diperkatakan ialah tentang sikap orang Malaysia yang kurang membaca. Kononnya dulu puratanya ialah semuka setahun, tetapi sekarang ini telah terdapat peningkatan.

Dalam forum di TV1 yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar dan panelnya terdiri daripada Dato’ Baha Zain dan Datin Paduka Shahaneem Hanoum pada minggu lepas, menurut Datin Paduka, kajian pada tahun 1996 menunjukkan puratanya telah meningkat kepada sebuah buku setahun. Kemudian aku terbaca pula dalam akhbar, puratanya ialah dua buah buku setahun. Aku pun tak tahu, mungkin aku tersilap dengar semasa forum tersebut. Walau bagaimana pun memang puratanya tersangatlah rendah dan memalukan.

Macam-macamlah sebab yang diperkatakan sejak dulu – faktor TV, Internet, harga buku yang mahal dan sebagainya yang menyebabkan orang Malaysia kurang membaca.Bagi diriku sendiri, ada satu perkara lagi yang aku rasa mempengaruhi masa yang aku gunakan untuk membaca .

Ini berkaitan dengan cuaca di negara kita dan juga perkhidmatan pengangkutan awam. Semasa aku di UK, waktu menunggu bas pun aku boleh membaca sebab bas datang mengikut masa dan stesyen bas tak bising dan panas seperti di Malaysia. Di sini bila bas datang pula, semua orang berebut-rebut, bertolak-tolak nak naik. Kalau kau sibuk membaca buku, alamatnya kau tertinggal bas, atau pun kau dapat naik akhir sekali dan berdiri di tepi tangga. Asap bas yang berkepul dan berbau serta muzik yang kuat yang entah siapa yang dengar juga mengganggu orang yang ingin membaca.

Yang agak selesa sedikit ialah membaca di dalam komuter, sekiranya tidak ramai orang. Sambil menunggu pun tak boleh membaca sebab panas dan takut terlepas tren – mata kena sentiasa awas. Jangan tersilap naik tren. Ini dah banyak kali berlaku pada kawan-kawan yang nak naik tren Pelabuhan Kelang, tetapi tersilap naik ke Seremban atau sebaliknya. Kalau dalam tren ramai orang yang bising pun tak selesa juga nak membaca. Mungkin pula kau duduk di sebelah kawan yang mahu berbual.

Kemudian hari ini aku terjumpa satu lagi puncanya masyarakat Malaysia kurang membaca, apabila aku menjawab kuiz Friday Five pada 4 Julai dan membaca respons yang diberikan oleh orang lain, yang kebanyakannya ialah masyarakat barat. Ramai di antara mereka mula membaca pada usia yang agak muda – 3, 4 atau 5 tahun dan bagi mereka that was no big deal dan hanya take that fact for granted. Kalau dah dari kecil pandai baca buku, mestilah banyak buku yang mereka baca dan tidak merasa terpaksa bila membaca buku.

Aku sendiri mula/pandai membaca semasa di dalam darjah satu iaitu ketika umur 6+ / 7 tahun, iaitu pada tahun 1975. Aku tidak belajar di tadika, di rumah hanya diperkenalkan dengan A, B, C hingga Z, nombor (aku boleh membuat kira-kira mudah sebelum masuk sekolah), dan mengaji Quran. Dan lebih teruk lagi, disebabkan aku bersekolah kampung, di dalam kelas aku hanya aku dan seorang lagi kawan yang sudah mengenal A, B, C semasa masuk darjah satu. Guru darjah aku terpaksa meminta bantuan aku dan kawanku untuk mengajar kawan-kawan yang lain A, B, C.

Sehingga sekarang ini pun masih ada orang Malaysia yang merasa pelik bila seorang kanak-kanak boleh membaca ketika usianya 5 atau 6 tahun dan orang yang mengajar anaknya membaca terlalu awal kadangkala dianggap sebagai menyiksa budak dan tidak membenarkan kanak-kanak menikmati zaman kanak-kanak mereka atau pun memberi tekanan yang tidak sepatutnya. Ada pula yang berpendapat, kalau dah pandai sangat, nanti bila masuk sekolah darjah satu, mereka akan jadi bosan, dah tak ada ada yang nak dipelajari. Lebik baik ajar anak mengenal nama bintang filem Bollywood!!! Jadi kebanggaan sekiranya anak-anak mereka pandai menari, menyanyi atau menyebut nama-nama pelakon Hindi.

Jadi yang penting sekali kita kena ubah persepsi. Membaca bukan bebanan, malahan membaca juga ialah satu bentuk hiburan. Jika ibubapa sendiri menganggap membaca itu satu bebanan, maka sudah tentulah sampai bila-bila pun masyarakat Malaysia tidak akan suka membaca.


P
u
r
p
l
e

N
e
c
t
a
r
<<   >>