Cerdik Tak Boleh Diikut
Mengapa ada guru-guru dan pihak pengurusan sekolah yang sanggup menipu dan mengajar murid-murid mereka berbohong demi menaikkan nama sekolah? Demi mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, mereka sanggup menggantikan murid-murid yang kurang pandai dengan orang lain.
Cetek sungguh pemikiran mereka. Kalau orang yang bergelar pendidik sanggup berbuat begitu, siapakah lagi yang boleh diharapkan?
Apakah puncanya? Terlalu mengejar nama dan kenaikan pangkat? Masyarakat yang terlalu pentingkan keputusan akademik dan mengenepikan nilai-nilai murni yang lain? Siapa peduli kalau murid-murid mereka semuanya bersikap positif dan berakhlak mulia tetapi bila ambil periksa keputusannya corot?
Sedih betul aku dengan keadaan ini. Namun ianya bukanlah sesuatu yang baru. Sebagai seorang pendidik aku juga pernah bertelingkah dengan seorang guru yang berpendapat, tidak salah membenarkan pelajarnya meniru. Yang paling aku tak boleh terima bila dia berkata, "Alah, apa salahnya tolong budak Melayu."
Buat malu orang Melayu saja. Bukan itu caranya nak menolong orang Melayu. Itu melingkupkan orang Melayu. Kita takkan berjaya melalui jalan singkat, dan kalau ada pun mungkin tak lama. Kalau betul-betul nak menolong orang Melayu, pastikan anak-anak dipupuk dengan nilai murni sejak kecil lagi. Dan jangan asyik menyalahkan orang lain apabila sesuatu perkara berlaku. Tanyalah diri sendiri, setakat manakah kita telah berubah atau cuba mengubah keadaan?
Play your role responsibly.