Friday, Oct. 31, 2003 @ 1:50 p.m.
Selamat Bersara Dr M

Hari ini hari terakhir Dr M menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apa perasaan aku? Bercampur-campur. Sebenarnya aku dah hidup dalam zaman pemerintahan keempat-empat orang PM, walaupun masa PM pertama tu aku masih tidak mengerti apa-apa. Yang paling awal aku ingat ialah semasa aku darjah satu, Menteri Pelajaran ialah Dr M. Kemudian semasa aku darjah 2, Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia, Dr M naik jadi Timbalan PM. Aku rasa ramai generasi Internet hari ini, rata-ratanya celik mata memang Dr M dah pun jadi PM. Maknanya aku ni dah tualah.

Kemudian sewaktu aku di tingkatan satu, Allahyarham Tun Hussein Onn meletak jawatan dan Dr M pun naik jadi Perdana Menteri. Kak Su mestilah lebih ingat sebab hari Dr M dilantik jadi PM ialah juga harijadinya.

Perubahan yang paling besar dirasakan ialah pertukaran jam. Semasa aku kecil, bila dengar berita di radio (TV belum ada), pembaca berita akan memberitahu waktu, contohnya: “ Pukul 7 pagi waktu semenanjung, pukul 7.30 pagi waktu Sabah dan Sarawak.” Dr M telah menyamakan masa. Jadi orang-orang Semenanjung perlu mempercepatkan jam 30 minit. Ramailah orang bersungut kena bangun awal pergi kerja dan sebagainya. Tetapi yang kelakar, ada orang tak faham dan marah-marah, mereka ingat waktu sembahyang tetap ikut yang lama, jadi mungkin mereka bersembahyang di luar waktu. Singapura pun ikut menukar jam. Lama kelamaan semua dah biasa dengan waktu yang baru.

Minggu lepas semasa di Sabah memang terasa seperti berada di dunia lain disebabkan perbezaan waktu dan juga cuaca yang lebih nyaman. Pukul 9 memang dah malam betul. Terasa macam masa kecil-kecil dulu, sebelum jam dicepatkan.

Sebenarnya aku dah komen tahun lepas jadi aku tak mahulah cakap banyak. Memang jasa Dr M sangat banyak terhadap negara Malaysia dan kita patut berterima kasih kepadanya. Tapi kita janganlah terlalu mengagung-agungkan sampai berkata, “Tanpa dia kita mungkin tak macam sekarang”. Aku takut lari akidah. Dan mana yang aku rasa tak betul, aku tetap kata tak betul.

Selamat Bersara, Dr M.


P
u
r
p
l
e

N
e
c
t
a
r
<<   >>