Rahmat Sakit
Hari ini masuk hari keenam aku berehat di rumah selepas pulang dari hospital. Aku telah menjalani laparoscopic surgery pada hari Isnin malam Selasa minggu lepas. Pembedahan yang sungguh-sungguh diluar dugaan. Sekarang aku diberi cuti sakit untuk berehat di rumah sehingga 29 Ogos.
Aku mula terasa sakit di sekitar abdomen, sebelah atas kiri pada hari Rabu 6 Ogos. Aku biarkan mungkin angin agaknya, tersilap makan. 2 hari sakitnya masih tak hilang. Kebetulan dua hari ini aku agak sibuk dengan mesyuarat, jadi untuk ke klinik memang tak sempat. Bila hari Jumaat, rasa sakit berkurangan jadi aku tidak jadi ke klinik walaupun semasa aku buat ujian Iridology , wanita yang merakam gambar mataku mengatakan yang rahimku kelihatan mempunyai masalah besar, seolah-olah bengkak. Aku tak berapa percaya dengan iridology tu. Buat malu saja kalau aku pergi jumpa doktor beria, nanti dia kata masalah aku boleh diselesaikan hanya dengan pergi ke tandas. Hujung minggu pun sibuk, maka pada malam Selasa baru sempat kami ke klinik.
Lepas saja sembahyang Maghrib, terus keluar. Dah tahu, Dr Delaila memang popular, kami nak pastikan dapat nombor yang di depan. Lagi pun kalau terkena pula ada orang nak bersalin, mungkin doktor akan terlambat. Semasa mendaftar kami diberitahu yang kami ialah orang nombor dua. Kami pun pergi makan di restoren bersebelahan dengan klinik sementara menunggu kedatangan doktor pada pukul 8.30.
Bila tiba giliran kami, aku biarkan doktor memeriksa Hanna dahulu. Dia batuk-batuk dan sakit tekak. Junior tinggal di luar bersama pembantu rumah. Hanna pun keluar daripada bilik pemeriksaan setelah diperiksa doktor.
Aku beritahu doktor sakit di bahagian abdomen kiri. Dia tanya dah berapa lama. Aku cakap 5 hari. Dia suruh aku baring untuk di buat ultra-sound. Ultra-sound menunjukkan ada cecair di dalam rahimku dia tak pasti sama ada air atau darah, kemungkinan besarnya darah. Untuk mendapatkan lebih kepastian, dia perlu buat internal scan. Ada beberapa kemungkinan sama ada twisted/ruptured ovarian cyst atau ectopic pregnancy. Dia kata aku perlu dibedah menggunakan kaedah laparoscopy. Semasa dia melukis diagram, aku tak berapa berikan tumpuan dan tak berapa faham, tapi aku ingat bolehlah aku balik rumah, search di Internet. Tetapi bila kami bertanya bila kena buat surgeri, dia kata malam ni juga, dan dia tanya bila kali terakhir aku makan. Aku baru makan pukul 8. Biasanya kena tunggu 6 jam, bermakna pukul 2 pagilah.
Dia terus telefon hospital bahagian kecemasan, beritahu dia ada pesakit yang perlu dibedah dan terus suruh aku tandatangan borang. Sebelum tu dia tanya suami sama ada syarikat kami bekerja akan menanggung perbelanjaan pembedahan. Suami kata ya jika tidak berkaitan dengan mengandung. Kami tanya boleh tak nak balik rumah ambil barang, dia suruh suami daftar dulu aku di hospital, kemudian baru ambil barang. Dia takut aku pengsan. Jadi kami terus ke rumah Papa dan Mama untuk tinggalkan budak-budak dan pembantu. Aku telefon Mama semasa dalam perjalanan ke rumahnya untuk jimatkan masa, tak boleh nak cerita panjang nanti. Mama pun terkejut sebab aku tak pernah cerita pun mengenai sakit ini.
Dalam perjalanan ke hospital, aku telefon Mak memberitahu yang aku perlu menjalani pembedahan malam itu juga. Tiba di wad kecemasan hospital dah pukul sembilan setengah. Aku terus disuruh masuk ambil darah. Bukan di lengan tetapi di belakang tangan. Bila aku tanya kenapa ambil disitu, jururawat memberitahu supaya mereka boleh guna saluran yang sama untuk drip ubat, air dan sebagainya. Dia terus meninggalkan jarum dan corong tiub di tangan kananku. Aku beritahu dia yang aku belum sembahyang Isyak lagi. Dia kata tak mengapa, kalau plaster basah, ganti saja nanti. Aku diarahkan menanggalkan semua barang kemas.
Alhamdulillah, dapat bilik seorang, bilik 360 di wad post-natal. Kalau bilik berkongsi, tak bolehlah suami menunggu aku. Aku disorong di atas kerusi roda untuk ke wad. Kuat betul penyaman udara di bilik ini. Aku minta suami tinggikan suhu. Sementara itu sempat juga aku menelefon seorang guru yang aku tidak dapat hadir sambungan mesyuarat esok, mereka perlu buat perbincangan sendiri seperti yang telah dirancang siangnya. Aku bergegas untuk bersembahyang Isyak. Jururawat kata aku tak boleh turun ke surau sebab masa dah suntuk. Aku akan disorong ke bilik bedah pada pukul 11, jadi dia perlu membuat persediaan. Aku tak membawa telekung. Jadi aku pun memakai tudung dan berselimut sahaja dan sembahyang sambil baring. Tak sempat nak berdoa panjang sebab jururawat dah tak sabar-sabar. Selepas dicukur, aku diminta mandi untuk mencuci badan sekali lalu. Kemudian aku pun memakai baju hospital berwarna biru/hijau tua kotak-kotak-kotak kecil yang bertali di belakang.
Pukul 11 aku disorong ke bilik bedah di tingkat 6. Suami tidak dibenarkan masuk. Macam-macam perasaanku masa tu. Dah dua kali aku bersalin, suami sentisa bersama. Kali ini aku terpaksa berdepan dengan doktor seorang diri. Agak terperanjat aku bila mendapati doktornya seorang lelaki, rupa-rupanya dia pakar bius. Dia memperkenalkan dirinya. Dia bertanya bila aku makan dan apa yang aku makan. Aku beritahu, burger, kentang goreng dan Coke. (Di kala aku melanggar boikot McD yang dah melebihi setahun, inilah pula harinya aku perlu dibedah.) Doktor tanya mengenai ubat yang aku alergik- sepanjang pengetahuanku, tiada; ada tak pakai kanta lekap, gigi palsu dsb. Mereka pun mula memasukkan macam-macam melalui drip ditanganku. Kali terakhir aku tengok jam pukul 11.20. Aku tak nampak Dr Delaila, tetapi aku rasakan kehadirannya.
Bila aku sedar semula, aku dengar suara pakar bius memanggil namaku. Kemudian aku dengar suara Dr Delaila. You have endometriosis. I have removed your IUCD. Aku tak nampak pun mukanya. Aku masih lali tapi aku ingat aku cakap Thank you, Doctor. Aku nampak jam pukul 12.50. Aku sangkakan pukul 2 pagi baru nak bedah, rupa-rupanya 2 jam setengah lebih awal. Rasa lali dan berat kepala beransur-ansur hilang. Kemudian pukul 1.30 aku ditolak keluar daripada bilik pembedahan menuju ke wad.
Suami ada di atas katil. Bila aku tiba, dia pun berpindah ke kerusi malas. Aku diangkat ke atas katil. Drip disebelah kanan untuk garam/glukos dan anti-biotik. Disebelah kanan pula alat mengukur tekanan darah. Setiap setengah jam, jururawat datang mengambil tekanan darah dan suhu. Macam mana aku nak berehat? Aku nampak ada empat plaster, termasuk satu yang agak besar di atas pusat. Lega juga bila nampak hanya 4 plaster. Doktor dah kata kalau teruk, perlu dibelah. Maknanya taklah teruk sangat kalau masih boleh dilakukan melalui laparoscopy. Bila aku bertanya jururawat mengenai pembedahan tersebut, mereka minta aku tanya doktor sendiri bila doktor datang disebelah pagi. Aku tidak dibenarkan minum sehingga pukul 6 pagi. Sebab itulah ubat dan air diberi melalui drip.
Di sebelah pagi aku diberi milo dan ubat penahan sakit. Jururawat sibuk menanya aku nak buang air atau tidak. Aku perlu memanggil mereka untuk ke tandas. Bayangkanlah perasaan, ada pula orang menunggu kita di dalam tandas. Beginilah rasa orang yang bersalin caesarean agaknya. Siksanya. Semuanya perlu dicatat didalam rekod. Buang air kecil, buang angin dan buang air besar. Selagi tak kentut, tak dibenarkan makan kerana takut termuntah. Pada mulanya aku diberitahu yang aku hanya boleh makan bubur pada waktu makan malam, tetapi memandangkan aku tidak muntah setelah meminum Milo dan ubat serta aku telah terkentut, aku dibenarkan makan bubur sewaktu makan tengah hari. Sampai hari kedua aku masih tidak membuang air besar, jadi aku disuruh mengambil ubat untuk mempercepatkan proses.
Kesan utama yang aku rasa ialah sakit dada kerana angin. Aku rasa sukar untuk bernafas. Doktor kata itu kesan karbon dioksida yang dimasukkan. Tekak aku juga sakit dan aku batuk. Rupa-rupanya sewaktu aku tak sedar, gas dimasukkan melalui kerongkong. Menurut doktor di sebelah ovari kanan ada banyak cyst berbagai saiz yang pecah. Di sebelah kiri pula banyak kesan parut endometriosis. Darah haidku tidak mengalir keluar sebaliknya masuk semula ke dalam tiub. Aku pun tak dapat bayangkan. Dahlah semasa sekolah dulu tak belajar Bio.
Pagi-pagi semasa suami keluar bersarapan, aku pun menelefon pejabat. Rupa-rupanya ketua unitku telah mengambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat. Timbalan Pengarah juga ingin berjumpa dengan guru-guru Perakaunan yang datang ke mesyuarat 2 hari ini pada pukul 11.30 pagi, jadi aku menelefon pembantu peribadinya untuk memberitahu yang aku berada di hospital dan ketua unitku telah mengambil-alih tugasku. Aku melefon Mak memberitahu aku dah selamat menjalani pembedahan. Mak tak dapat datang segera. Aku faham. Paling cepat pun hari Sabtu. Selain daripada tu, aku taip satu mesej dan hantar kepada nombor-nombor yang ada di dalam telefon bimbitku memberitahu kawan-kawan aku berada di hospital. Sebenarnya tangan kananku pedih bila dibengkok atau digerakkan kerana ada jarum, jadi aku membuat kerja termasuk makan minum dengan tangan kiri.
Kira-kira pukul 10 lebih, aku menerima panggilan untuk menghadiri temuduga satu kerja yang aku pohon minggu lepas. Temuduga akan diadakan pada hari Selasa tetapi aku masih bercuti sakit, tentulah tidak dapat hadir. Aku kata nanti aku confirmkan semula.
Hari pertama, Selasa waktu tengah hari ada 3 orang pelawat. R dan J, kawan semasa A-Level dan seusrah semasa di London. Aku terharu. Agak jauh mereka datang dan terpaksa mengorbankan waktu makan tengah hari. Kemudian Kak W, kakak angkatku semasa di Sri Pelangi juga datang. Kebetulan pejabatnya berhampiran dengan hospital.
Disebelah petang, sanak saudara sebelah suami, Papa, Mama, Hanna dan Junior, adik ipar dan suami serta anak mereka, ibu dan bapa saudara serta sepupu dan Nenek pula datang. Di sebelah malam, kawanku A (rakan sebilik selama 4 tahun semasa di Sri Pelangi datang bersama suami dan 2 orang anak mereka. Aku gembira dia datang. Selama ini kusangkakan persahabatan kami telah dilupakan kerana dia sibuk menyuruh aku berniaga menjadi down linenya sebelum ini. Kali terakhir aku menghubunginya ialah pada bulan Jun lepas untuk mengucapkan selamat harijadi. Alhamdulillah nilai persahabatan kami masih kukuh.
Hari kedua, Rabu dua orang rakan sepejabat (yang pernah mengajar di Sri Pelangi dan salah seorang pernah mengajarku semasa di tingkatan satu) datang melawat dan membawa buah tangan daripada rakan-rakan di pejabat. Papa, Mama dan anak-anakku pun datang di sebelah petang. Kemudian di sebelah malam sahabatku Az yang sama mengajar sebelum ini dan menjadi rakan serumah selama 2 tahun sewaktu bujang, datang bersama suami dan dua orang anak mereka membawa salam kawan-kawan di sekolah lama tempatku mengajar.
Hari ketiga, Khamis mula-mula ku sangka dah boleh balik ke rumah. Tetapi menurut doktor aku kelihatan seperti perlu lebih rehat di hospital, jadi disuruh tunggu lagi semalam. Selera ku untuk makan bubur pun dah hilang. Hari pertama dan kedua akau berjaya menghabiskan semangkuk bubur semasa makan tengah hari dan malam (makan petang sebenarnya pukul 5.30 petang makanan pun sampai), tetapi hari ketiga akau pun dah naik muak. Usus dan perutku pun rasanya dah berfungsi seperti biasa, esok balik rumah bolehlah makan nasi, tak payah bubur lagi. Jangkaku memang dah tiada pelawat hari ini. Suami pulang ke rumah menjaga anak-anak sebab Papa dan Mama nak ke surau. Tengok-tengok ada 2 orang lagi pelawat, Kak N dan anak lelakinya. Aku kenal Kak N sewaktu Perhimpunan MISG di UK. Dia dapat tahu aku berada di hospital setelah bertemu Mama di masjid.Suami datang semula ke hospital dalam pukul 10 malam.
Hari Jumaat aku dibenarkan pulang. Plaster di tiga tempat jahitan telah ditanggalkan. Hanya satu lagi plaster di pusat yang dibiarkan. Kata doktor jahitan di pusat agak panjang -2 jahitan. Aku boleh naik turun tangga, jadi tak perlulah tidur di tingkat bawah. Walau bagai mana pun aku tak boleh mendokong atau mengangkat Junior dan barang-barang berat. Hanna pula ada lawatan ke Muzium dan Perpustakaan Negeri yang dianjurkan sekolahnya. Kami tiba sedang elok sahaja untuk menjemputnya pulang dari sekolah.Suami mendapat cuti ihsan selama 2 hari dan 2 hari lagi dia terpaksa memohon cuti rehat. Kesian dia tidur dalam keadaan tidak selesa. Insya Allah pahalanya besar menjaga orang sakit.
Mak dan Abah tiba pada tengah hari Sabtu dan balik ke Taiping pada pagi Isnin. Hanna pergi ke sekolah dihantar dan dijemput oleh Papa. Aku tinggal di rumah denagn Junior dan pembantu. Nak kata tiada rasa sakit langsung memang bohonglah. Terutamanya bila pakai seluar yang terkena bahagian pusat. Bila sembahyang, aku sujud pun masih dengan kaki agak terbuka sedikit untuk mengelakkan tekanan di bahagian pusat. Hari Jumaat nanti aku ada temujanji dengan Dr Delaila. Bolehlah aku tahu keputusan sampel yang telah di hantar ke makmal. Aku harap tak ada berita yang terlalu menakutkan seperti aku tak boleh beranak lagi dan sebagainya.
Sakit yang ku sangka tidak seberapa, pembedahan yang serta-merta, cuti sakit yang memberi peluang untuk aku meluangkan masa bersama Junior yang selama ini kurasakan kurang mendapat perhatianku, perubahan berbagai perancangan disebabkan keadaanku tidak dapat menghadiri temuduga dan konferens, tiada sambutan ulangtahun perkahwinan, kerja-kerja di pejabat yang terbengkalai semuanya ku anggap sebagai rahmat. Segala yang terjadi ada hikmah tersendiri. Kuharap juga sakit ini akan menjadi kifarah, menggugurkan dosa-dosaku.
Terima kasih atas ucapan selamat dan doa daripada kawan-kawan di alam maya: Kak Su, Xyad, Nani, Dezie, Elin, Ros dan AMD.