Now We Can See the Data
Program Cari Jodoh tidak diteruskan - Shahrizat
Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD
KUALA LUMPUR 16 Julai - `Program Cari Jodoh' untuk golongan wanita berpendapatan tinggi tidak perlu dilaksanakan kerana bilangan lelaki di negara ini lebih ramai berbanding wanita, kata Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, mengikut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000, nisbah lelaki adalah 104 bagi setiap 100 wanita.
Sebaliknya beliau berkata, program seumpama itu hanya akan diwujudkan jika masalah wanita berpendidikan tinggi yang belum berkahwin semakin meningkat.
Menurutnya, banci itu yang mencatatkan perangkaan tersebut turut menyatakan bahawa kaum lelaki adalah golongan paling ramai daripada jumlah penduduk Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas yang belum berkahwin berbanding wanita dengan nisbah 130:100.
``Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendapati bahawa pada tahun 2001 sebanyak 24,313 lelaki yang bekerja dan berkelulusan ijazah berumur 30 tahun ke atas dan masih bujang adalah 21 peratus lebih tinggi berbanding wanita iaitu sebanyak 20,116 orang,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini menyebut bahawa jumlah kaum lelaki yang tidak berkahwin adalah lebih ramai berbanding wanita berikutan pendedahan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Perangkaan LPPKN mendapati bilangan lelaki yang tidak berkahwin adalah lebih ramai berbanding wanita.
Perangkaan agensi itu menunjukkan 48.1
peratus atau hampir 3.1 juta lelaki daripada 6,370,963 orang dalam kategori umur 15 hingga 49 tahun tidak pernah berkahwin.
Peratusan itu lebih tinggi berbanding jumlah wanita tidak berkahwin dalam kumpulan usia yang sama.
Sebanyak 38.2 peratus atau hampir 2.4 juta wanita daripada jumlah 6,165,548 orang dalam usia tersebut tidak pernah mendirikan rumah tangga.
Program Cari Jodoh itu mula timbul pada 30 Jun lalu apabila Shahrizat berkata di Dewan Negara mungkin kementeriannya akan mengadakan program itu bagi mengatasi masalah mencari jodoh bagi golongan wanita berkenaan.
Ini artikel dari Utusan, aku paste di sini sebab kalau link, bila dah masuk arkib, tak boleh baca lagi. Betul seperti yang dijangka, cerita-cerita tentang perempuan terpelajar ramai tak kahwin, memilih dan sebagainya hanyalah isu yang dipolitikkan, dan juga alasan suami-suami yang ingin berpoligami.